Pejabat Mufti Negeri Sabah telah berjaya menganjurkan Daurah Hukum Fiqh 2019; Fiqh Wanita Siri I dan II.
Program ini diadakan di Dewan Mengkabong, INTAN Kampus Sabah untuk siri I pada 27-28 Februari 2019 dan Pusat Islam UMS untuk siri II pada 19-20 Jun 2019 telah menarik minat peserta untuk menyertainya. Daurah hukum Fiqh ini berlangsung selama dua hari.
Tujuan utama program ini dianjurkan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai kepentingan pengetahuan fiqh wanita dalam tuntutan beribadah serta menjelaskan hukum fiqh wanita kepada umat Islam supaya dapat melaksanakan tuntutan Ibadah dengan yakin dan betul. Dengan adanya program daurah ini sudah pasti dapat mengukuhkan kefahaman dan penghayatan masyarakat Islam terhadap ajaran Islam. Daurah ini terbuka kepada orang ramai yang berminat mempelajari dan menekuni ilmu serta mendalami secara khusus hukum berkaitan fiqh wanita.
Pejabat Mufti Negeri Sabah telah mengundang Al-Fadhil Maulana Mansoor bin Ismail al-Hafiz, Mudir Madrasah Miftahul Ulum, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai penceramah khusus untuk program Daurah Hukum Fiqh Wanita. Beliau juga merupakan pengarang kitab “Tuhfah al-A’izza iaitu Bicara Darah Wanita” dimana buku ini menjadi bahan perbincangan sepanjang program daurah berlangsung. YBhg. SS Datuk Ustaz Hj. Bungsu @ Aziz bin Hj Jaafar Mufti Kerajaan Negeri Sabah dalam ucaptama beliau berharap program daurah fiqh wanita ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam seterusnya melahirkan masyarakat Islam yang berilmu pengetahuan agama dan dapat melaksanakan ibadah sebagaimana telah ditentukan syarak.